Powered By Blogger

Saturday 15 October 2016

Pesan buat para penuntut Ilmu

PESAN BUAT PARA PENUNTUT ILMU

“Allah akan meninggikan orang-orang yang beriman di antaramu dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan beberapa darjat” (Al quran. Al-Mujadalah: 11)

Memetik sepotong ayat Al- quran dari surah al Mujadalah tersebut, cukup menghiburkan hati kita sebagai seorang muslim dan mukmin. Malah Allah menjanjikan akan mengangkat darjat bagi mereka yang berilmu. Justeru, merasai peluang untuk melanjutkan pelajaran merupakan suatu nikmat Allah yang tidak terhitung nikmatnya.

Menuntut ilmu merupakan suatu tuntutan fardhu ain kepada setiap muslim. Ia perlu disertakan dengan niat yang suci untuk mendapatkan keredaan Allah. Segala-galanya perlu dikembalikan kepada Allah, apa yang kita niatkan mestilah semata-mata kerana Allah. Biarpun ada kepentingan lain untuk keperluan duniawi, akan tetapi niat utama haruslah kerana Allah. Guru saya pernah berpesan

“ Belajar lah, tetapi jangan lah kerana semata-mata hendak memuaskan diri sendiri” ini kerana kepuasan itu tidak akan pernah hadir, kerana illmu Allah terlalu luas”.

 Tidak dinafikan, kepentingan menuntut ilmu itu menjanjikan rezeki kerjaya dan sebagainya. Itu keperluan manusiawi selagi mereka hidup dia atas muka bumi ini. Tidak salah, namun Islam lebih menggalakkan untuk kita bekerja keras dalam melakukan sesuatu perkara, tetapi tidaklah sampai tersasar niat dan tujuan. Contoh, belajar sesuatu ilmu untuk dipandang mulia pada sisi masyarakat. Bukan begitu, Nauzubillahi min zalik! Belajarlah kerana Allah, untuk memartabatkan agama Islam, memperjuangkan agama Allah. Biar apa pun ilmu itu jika Allah menjadi tujuan dan sandaran utama, akan ada ketenangan dan perjalanan menujunya juga dipermudahkan, In shaa Allah! Menurut hadis nabi, 

Menuntut Ilmu itu wajib ke atas setiap Muslim”. Riwayat Ibnu Majah. 

Jika kita lihat perjuangan para sarjana Islam pada suatu masa kegemilangan dahulu, mereka bersungguh-sungguh dalam mendalami sesuatu bidang ilmu. Bahkan lebih dari sesuatu cabang ilmu. Subhanallah! Kita terlalu beruntung kerana sehingga kini kita merasai nikmat Ilmu oleh kerana wasilah dari mereka, ilmu itu sampai kepada kita. Alhamdulillah! Namun kini, ke’izzah’an itu semakin hilang dari kita. Mungkin disebabkan faktor kelalaian dan kelekaan yang sedang melanda umat akhir zaman ini. Tidak sedarkah kita bahawa jalan menuntut Ilmu ini adalah jalan sunnah nabi, sahabat serta tabi’-tabi’in? Tidak takutkah kita bahawa ramai para pengkaji barat atau kita gelarkan mereka sebagai ‘orientalis’ berlumba-lumba untuk mengkaji pelbagai sudut Ilmu yang memang asalnya dibawa oleh Islam ini?

Mereka mengkaji Islam, mengkaji hadis. Oleh itu kita lihat banyak rujukan yang diperoleh adalah bersumberkan dari pengkaji barat ini. Tidak dinafikan, sumbangan mereka banyak memberi sumbangan dalam mengembangan bidang ilmu, namun adakah itu tidak cukup untuk memberi tamparan buat kita sebagai umat Islam? Mereka (orientalis) tertarik dengan Ilmu yang diwarisi oleh umat Islam. Hakikatnya, kita sebagai umat Islam lah yang perlu menguasai pelbagai bidang ilmu ini. Bukankah hadis nabi pernah menyebut

“Islam muncul dalam keadaan asing dan akan kembali dalam keadaan asing, maka beruntunglah orang-orang yang asing .Hadis riwayat Muslim.

Rebutlah peluang untuk menjadi orang yang asing itu dengan menjadi penuntut ilmu.
Menuntut ilmu tidak menjanjikan kesenangan. Jalan penuh berliku dan cabaran yang kadang-kala menguji keimanan. Namun, semua itu tidak sia-sia, Allah menjanjikan syurga bagi mereka yang menuntut ilmu. Dari Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu

“Barangsiapa yang menempuh suatu perjalanan dalam rangka untuk menuntut ilmu maka Allah akan memudahkan baginya jalan ke syurga” riwayat Imam Muslim.

Ini rahmat dari Allah, tidak mahukah kita mengejar ganjaran yang dijanjikan Allah ini? Janji Allah pasti! Dalam menuntut ilmu, perlulah ada kesungguhan dan kesabaran yang tinggi. Ini menunjukkan komitmen kita yang sebenar samada kita benar-benar ikhlas atau tidak. Ujian datang silih berganti, cabaran harus ditempuhi. Hal Ini kerana jika kita membantu agama Allah, pasti Allah akan membantu kita. Kita tidak boleh lari dari masalah, malah menghadapi masalah tersebut akan mematangkan kita. Kita dapat berfikir cara yang terbaik untuk menyelesaikannya. Itu fitrah dalam kehidupan, hidup adalah untuk diuji oleh Allah SWT.
Belajarlah demi agama, keluarkan diri dari kepompong kejahilan. Sentiasa ada keinginan dan semangat yang tinggi untuk menuntut ilmu. Ilmu boleh didapati di mana-mana. Samada melalui kaedah bertalaqi kitab dengan guru, atau menuntut ilmu di universiti, atau ilmu kehidupan yang didapatkan secara tidak langsung.  Semuanya sama walau kaedahnya berbeza. Yang perlu dijaga adalah adab bersama guru. Itu kunci kejayaan, tiada guna jika kita memiliki sijil yang banyak, akan tetapi tiada keberkatan dari seorang guru.

Apabila bercakap soal perjuangan menuntut ilmu, pasti ramai yang takut untuk menempuh jalan itu. Bimbang bertemu kesusahan di pertengahan jalan. Ingatlah kembali pesanan seorang ulama nusantara iaitu Allahyarham Profesor HAMKA

“Jangan takut jatuh, karena yang tidak pernah memanjatlah yang tidak pernah jatuh. Jangan takut gagal, karena yang tidak pernah gagal hanyalah orang-orang yang tidak pernah melangkah. Jangan takut salah, karena dengan kesalahan yang pertama kita dapat menambah pengetahuan untuk mencari jalan yang benar pada langkah yang kedua.”

Akhir sekali, sudah sunnatullah, ilmu perlu selari dengan amal. Pepatah arab menyebut
“ Ilmu tanpa amal seperti pohon tanpa buah”
Semoga kita menjadi orang yang mencintai ilmu dan mengamalkan ilmu tersebut. Serta menghasilkan buah yang baik iaitu dapat membentuk akhlak yang baik kerana serapan ilmu itu.
Wallahu ‘Alam.

Nurul Atiqah bt Ibrahim
Ijazah Sarjana Muda Da'wah dan Pengurusan Islam
Universiti Sains Islam Malaysia
Nilai, Negeri Sembilan


No comments:

Post a Comment